Jumaat, 18 Oktober 2013

KAHWIN RAHSIA

Secara umumnya kahwin sorok-sorok atau lari tidak boleh dilihat secara terpisah daripada isu lain. Ia hanyalah sebahagian daripada gejala penyakit sosial yang membarah dalam masyarakat pada hari ini. Menurut Islam, institusi keluarga mesti dibina atas tapak akidah kukuh, disusun mengikut acuan syariah yang lengkap dan dihias akhlak Islam yang unggul dan murni. Oleh itu, dari sudut moral dan tanggapan masyarakat kahwin sorok-sorok dan kahwin lari menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Ia akan menjadi sejarah hitam, merosakkan nama, reputasi dan menjadi sebutan hingga ke anak cucu. Sebaiknya, elakkan daripada melakukannya. Apabila terjadi perkahwinan yang sah, sama ada secara sembunyi atau terang-terang, hak dan tanggungjawab tidak boleh dielakkan.

Seperti yang kita ketahui, bukan sahaja perkahwinan perlu diuar-uarkan, tetapi juga majlis pertunangan. Ini kerana apabila seseorang itu sudah bertunang, haram untuk orang lain meminang wanita yang sudah dipinang. Sebab itu ia perlu diumumkan kepada semua apatah lagi perkahwinan. 

Sebagai contoh terkini yang dapat kita lihat berhubungan dengan kontroversi pernikahan Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang melanda dunia hiburan baru-baru ini



Segala desas desus, spekulasi dan tanda tanya ramai mengenai kontroversi hangat pasangan pelakon Aeril Zafrel dan Wawa Zainal akhirnya terjawab jua setelah pasangan ini membuat pengakuan telah bernikah sebanyak 2 kali . Pernikahan kali pertama adalah sebagai menghalalkan perhubungan kerana tiada surat nikah dan selepas mendapat tahu Wawa mengandung, mereka bernikah semula pada 4 Februari 2013 kerana mahu mengikut Undang-undang Keluarga Negeri Selangor dan supaya anak mereka boleh di binkan dengan nama Aeril Zafrel.

Penceramah bebas Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani dalam komen beliau menyatakan, perkahwinan sembunyi-sembunyi yang dilakukan oleh pasangan ini adalah tidak beradab dan tidak berakhlak lebih-lebih lagi memikirkan status mereka sebagai selebriti. Kata Ustaz Ahmad Dasuki :


Walaupun sah dari segi agama, perkahwinan ‘sembunyi-sembunyi’ mereka itu tetap dianggap tidak beradab dan berakhlak. Ini kerana dalam Islam sendiri perkahwinan itu bertujuan menghebahkan kepada masyarakat akan status hubungan suami isteri antara seorang lelaki dan wanita.
Ia bertujuan mengelak timbulnya sangka buruk dan pandangan serong orang ramai seperti yang berlaku kepada mereka (Aeril dan Wawa). Apatah lagi melibatkan golongan selebriti yang dikenali ramai, pasangan ini sepatutnya memberi contoh baik kerana setiap tindakan mereka boleh menjadi ikutan peminat.
Bukanlah bermakna setiap pasangan yang berkahwin perlu membuat majlis atau kenduri besar-besaran, cukup sekadar memaklumkan perkahwinan mereka kepada umum. Dalam hal ini (perkahwinan), paling penting, kita menjaga Allah dan hukumnya, bukannya orang termasuk majikan sehingga kita sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya


Jadi, kes seperti diatas memperlihatkan kita bahawa Kahwin Rahsia ini banyak mendatangkan masalah berbanding kebaikan. Selain dari kisah di atas, banyak berlaku kes Kahwin Rahsia atau kahwin sindiket disebabkan tiada restu orang tua. Sebenarnya banyak penyelesaian dapat dilakukan selain dari kahwin di sempadan. Perkara seperti ini perlu dielakkan kerana besan implikasinya terhadap kita nanti.



Implikasi Kahwin Sindiket


Terdapat dua kesan yang berbeza berkaitan kahwin sindiket ini, iaitu :

1 – Kegagalan melakukan pendaftaran

Sekiranya perkahwinan itu melibatkan wali yang sah, maka perkahwinan tersebut dianggap sah di sisi syarak. Perkahwinan ini hendaklah didaftarkan di unit Nikah, Cerai dan Rujuk di pejabat agama yang berdekatan.

Kegagalan melakukan pendaftaran ini boleh menyebabkan implikasi yang lebih buruk pada masa hadapan terutamanya jika berlaku perceraian. Sebagai contoh, isteri tidak berhak menuntut sebarang hak daripada suaminya kerana tiada rekod pendaftaran perkahwinan antara mereka.

2 – Ðiragui kesahihannya

Sekiranya perkahwinan itu dilaksanakan dengan berwalikan seseorang yang diragui sah, maka perkahwinan tersebut juga diragui kesahihannya. Apabila keadaan ini berlaku, akan timul masalah utnk mendaftarkan perkahwinan tersebut. Satu siasatan terperinci terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mendapatkan kepastian sama ada perkahwinan tersebut sah atau tidak.

Jika didapati perkahwinan itu sah, maka pendaftaran akan dijalankan dan denda akan dikenakan kepada pasangan terlibat. Sebaliknya jika dibuktikan perkahwinan itu tidak sah, maka perintah ‘faraq’ (pengasingan antara suami dengan isteri terlibat) akan dikeluarkan. Pasangan ini hanya akan disatukan semula melalui akad nikah baru yang pasti kesahihannya.

Perbezaan Kahwin Sindiket dan Kahwin Biasa

Kahwin Sindiket
Kahwin Biasa

Wali dan saksi telah disediakan secara pakej oleh agen pernikahan.

Pasangan pengantin perlu menyediakan wali dan saksi sendiri.

Kos bayaran bagi kahwin sindiket agak tinggi iaitu mencapai RM3,000.00

Menelan belanja antara 1% hingga 5% daripadanya. Contohnya di Selangor, kos yang dikenakan ialah sekitar RM150.00 sahaja.

Tidak melibatkan sebarang urusan dengan Pejabat Agama Islam daerah.

Perlu didaftarkan di Pejabat Agama Islam.





Sebagai nasihat, elakkan dari melaksanakan perkahwinan yang melanggar undang-undang terutamanya yang melibatkan nikah di sempadan atau menggunakan agen. Ia akan membawa kesan yang buruk di kemudian hari. Undang-undang dibuat bukan untuk menyekat atau menyusahkan, tetapi untuk memastikan keadilan kepada semua pihak. Dan yang paling penting perkahwinan itu tersimpannya kebahagian yang perlu dilalui dengan seribu pengorbanan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan