PELAMIN INDAH TIGA KAUM

 LANGKAH-LANGKAH SEBELUM MENDIRIKAN RUMAH TANGGA BAGI AGAMA ISLAM

1) Kursus Pra-perkahwinan

Kursus Perkahwinan atau Kursus Pra Perkahwinan adalah wajib diambil dan dihadiri bagi setiap pasangan Islam sebelum mendirikan rumahtangga dengan pasangan masing-masing yang kebiasaannya diadakan selama dua hari.Kursus Perkahwinan atau Kursus Pra Perkahwinan juga satu kewajipan bagi mana-mana pasangan yang mahu berumahtangga.Kursus ini boleh diambil bersama pasangan atau secara individu
Sijil penyertaan akan diberikan pada hari kedua setelah tamat kursus. Sijil perlu disimpan untuk kegunaan semasa memohon surat kebenaran berkahwin dan pada hari pernikahan 
2)Merisik


Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya.



Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

 
3)Meminang

Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

4)Bertunang
Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu sama ada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan.

Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi.Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda. Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.


5)Akad Nikah


Dalam upacara akad nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi atau imam. Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Lazimnya sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan.  Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama. 

Selepas itu, tok kadi atau imam akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi:

"Aku nikahkan dikau (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak (mengikut negeri) tunai" dan 

disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi atau wali pengantin perempuan) dengan maskahwinnya dua puluh dua ringgit setengah tunai". 

lafaz nikah bagi negeri terengganu 

"aku nikahkan dikau (nama penuh pengantin lelaki) dgn (nama penuh pengantin perempuan) dengan maskahwinnya sebanyak (jumlah) tunai."


pengantin lelaki jawab:"aku terima akan nikahnya dengan maskahwin seperti yang tersebut itu."


Saksi akan mengesahkan sama ada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu dan kemudian, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan. 

6)Adat Berinai

Berinai curi = diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuksaudara mara terdekat sahaja.

Berinai kecil = diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Berinai besar = diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah pengantin perempuan.

7)Majlis Perkahwinan


  • Pengantin perempuan akan diandam oleh mak andam sebelum majlis persandingan bermula. Ada juga pengantin yang dicukur bulu kening dan dipotong anak rambutnya supaya kelihatan lebih menarik. 
  • Pengantin lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan. 
  • Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras kunyit. 
  • Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan. Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat bersanding pula.

Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab dijalankan. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang. Seminggu selepas itu, majlis perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. Setelah beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua pengantin dapat berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.




PERKAHWINAN MASYARAKAT INDIA
thali2

·        Perkahwinan masyarakat India di Malaysia diklasifikasikan kepada beberapa jenis iaitu vaitiikat tirumanam, tamil tirumanam, eliyat tirumanam. Perkahwinan masyarakat India biasanya dilaksanakan mengikut golongan etnik iaitu Tamil, Malayalam, Telugu dan sub etnik iaitu Chetti, Mutaliyar, Veelaalar, Teevar dan sebagainya serta status ekonomi, pedanda iaitu Brahmin Gurukkal, Gurukkal, Pandaaram dan sebagainya.

·        Peringkat pertama iaitu merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira.

·        Seterusnya ialah kunjungan ke rumah pengantin. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya.

·        Seterusnya ialah mengkaji kecocokan antara kedua-dua bakal pengantin. Adat penyesuaian bakal pengantin dikenali sebagai Thirumanam Poruttam Paartal dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian. Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal pengantin dengan cara tilikan dimanak Hindu.


·        Justeru, prosedur ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada wakil perempuan.Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal.

·        Adat parisam pula terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis pertunangan. Pihak pengantin lelaki akan menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil cumanggali. Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi.


·        Pada hari tersebut, bakal pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

·        Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya , kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.

·        Adat mukuurtakaal dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter. Majlis perkahwinan pula dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan perkahwinan.

·        Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan. Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.


·        Selepas perkahwinan, terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu, ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.

Adat Perkahwinan Masyarakat Cina


·         Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. 

·         Dalam masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-baiknya. 

·         Terdapat dua bentuk perkahwinan yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk memilih pasangan masing-masing.

·         Pada asasnya adat resam perkahwiwan masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan majlis perkahwinan.

·         Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati. Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi, watak dan tingkah laku si gadis. 

·         Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan yang kenal dengan keluarga si gadis. 

·         Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah keluarga. 

·         Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

·         Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai.

·         Pihak lelaki tidak akan tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.

·         Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan menghalami kegagalan. 

·         Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. 

·         Bagi membukitkan persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.

·         Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan.

·         Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.

·         Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan.

·         Di antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki.

·         Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu orang lain sedang berkabung kesedihan.

·         Pada hari perkahwinan tersebut pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning. 

·         Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

·         Seterusnya pengantin lelaki akan bertandang ke rumah pengantin perempuan dan pada masa itulah pengantin lelaki dan perempuan akan duduk bersama buat kali pertama. Mereka akan diiringi oleh pengiring masing-masing. Seterusnya pasangan pengantin akan didudukkan di atas pelamin yang telah disediakan di ruang tamu.

·         Selepas acara bersanding, pasangan pengantin akan dibawa bertemu ahli keluarga masing-masing. Pengantin lelaki akan memperkenalkan keluarga dan sauadara maranya kepada isterinya dan ini begitulah sebaliknya di samping itu juga kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-masing. 

·         Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. 

·         Dalam upacara ini pasangan pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

·         Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli keluarga kedua belah pihak. 



·         Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang beragama Kristian.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan